Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Hubungan diplomatik NBD, Qatar diperkukuh melalui kerjasama dua hala
18/12/2025

 


Kedutaan Qatar di Negara Brunei Darussalam meraikan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Qatar pada Majlis Resepsi yang berlangsung di Dewan Royal Berkshire, Tarindak d'Polo, Jerudong.

Hadir mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku tetamu kehormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah dan isteri, Pengiran Datin Hajah Noor Yashimah binti Pengiran Anak Haji Hashim.

Majlis dimulakan dengan Lagu Kebangsaan Allah Peliharakan Sultan diikuti dengan Lagu Kebangsaan Qatar dan diserikan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Haji Mohammad bin Ali.

Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II dan Datin seterusnya dijunjung bagi memotong kek sempena Hari Kebangsaan Qatar bersama Duta Besar Istimewa dan Mutlak Qatar ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Abdulla Hamad Ali Al-Adham Al-Marri.

Hubungan diplomatik Negara Brunei Darussalam dan Qatar telah mencapai kemajuan besar dalam hubungan dua hala yang diperkukuhkan dengan beberapa persetujuan dan memorandum persefahaman bagi menguatkan dan mengembangkan lagi kerjasama yang lebih erat dalam pelbagai bidang.

Pada tahun ini, hubungan diplomatik Negara Brunei Darussalam dan Qatar telah menandakan lebih daripada tiga dekad hubungan diplomatik susulan terjalinnya hubungan pada 2 Oktober 1991.

Baru-baru ini, kedua-dua pihak telah meningkatkan kerjasama dalam pendidikan, teknologi, budaya dan pelaburan, mencerminkan kekuatan dan janji masa depan hubungan dua hala.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto